MESEJ RINGKAS

Nama:

Email:

Mesej:


                       

 

<< January 2006 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Thursday, December 01, 2005
Gitar Kapok Adik Aku Punya
Jiran aku menegur "Aii.. jadi orang bujang nampak".

"Biasalah.." jawab aku sambil mengunci pintu.

Awek dengan anak-anak semua cuti sekolah di kampung. Aku sorang-sorang di rumah. Kelmarin dua orang adik aku datang, bawak dua buah gitar Kapok. Yang satu pinjam kawan katanya. Yang satu lagi asalnya aku punya, tapi aku dah tak berapa main, aku bagilah adik pakai. Adik aku sorang pandai main tapi kidal. Yang sorang lagi pandai dengar sajalah termasuk aku.

Malam tadi sorang saja adik yang datang, sorang lagi ada hal katanya. Yang datang ni tak reti main gitar. Takpelah janji ada kawan berborak.



Dah lama aku tak petik gitar, adalah dalam 10 tahun. Terkial-kial jugak bila terlupa kord. Gian punya pasal, sampai pedih-pedih aaa hujung jari dok memicit-micit tali. Picit-punya picit.. perut laparlah pulak. Aku pun masaklah megi.



Tak kuasa aaa nak goreng megi pukul 3.15 pagi. Rendam je dalam air panas.Slurrrrppp!!!

Sambil hirup megi sambil picit-picit gitar. Sampai pedih-pedih hujung jari. Goreng-goreng. Dalam pukul 3.30 pagi baru aku tidur.



Gitar kapok yang aku beli sekitar tahun 1993-1994. Masa tu zaman sekolah menengah. Jimat duit untuk tabungkan beli Kapok. Harga dia RM60 kalau tak salah.

Aku tak gig dengan kawan-kawan. Sifu aku arwah bapak. Aku dengan adik bongsu je yang minat pun nak belajar. Adik-beradik lain tak minat. Tapi adik aku gak yang teror. Aku hampeh sampai sekarang. Bila gitar adik patah, aku bagi yang aku punya ni kepada dia. Dia rajin dan tekun main. Bolehlah setakat layan-layan..

Selepas bapak dah takde. Aku berguru dengan adik aku jelah. Tak taulah bila minat aku ni nak padam, harap pada minat tapi bakat takde pun tak guna gak kan.

Aku tengah dok mencari kord untuk lagu Harum Subur Di Hati - BPR kat internet. Tak jumpa aaa. Korang boleh tolong bagi aku?


Posted at 11:13 am by dugongsenyum
Comments (5)  

 
Wednesday, November 30, 2005
Nama timangan
Kawan: Aku dengar kau dapat sorang lagi anak, tahniah.

Aku: Terima kasih.

Kawan: Anak lelaki kan..? Apa nama dia?

Aku: Tuahdanish

Kawan: Mak aii.. nama millennium, macam pendekar pun ada. Ni nak panggil Tuah atau Danish?

Aku: Nanang.

Korang pun mungkin ada nama timangan kan? Nama dalam surat beranak dan I.C lain, kat rumah abang dan kakak panggil nama lain, kat sekolah nama lain, kawan-kawan panggil nama lain dan di internet bubuh nickname lain yang kemudian menjadi nama timangan pula.

Tuahdanish mendapat nama timangan Nanang kerana dalam bahasa Jawa ia bermakna budak lelaki (sebutan bakunya LANANG).

Apa cerita di sebalik nama timangan kau?


Posted at 09:21 am by dugongsenyum
Comments (7)  

 
Tuesday, November 29, 2005
Yang paling besar pernah kau ada.
Suatu masa dulu aku membonceng motorsikal yang bapak tunggang. Kaki rasa bergetar kerana motorsikal bergetar menempuh jalan tanah merah yang tidak rata. Perut bundar bapak dalam pelukan aku. Kadang-kadang aku dapat pula aroma peluh bapak bersama angin yang ditongkah motorsikalnya itu.

Masa tu aku kecil lagi, arwah bapak aku bagi satu teka-teki. "Banyak-banyak ikan, ikan apa yang paling besar?"

Aku terus jawab, "Ikan PAUS pak."

Bapak aku kata salah. "Sebenarnya ikan paling BESAR ialah ikan yang TERLEPAS."

"Sebab apa pak?" Minda budak aku dipenuhi tanda tanya dan bintang-bintang kekeliruan.

"Iyalah.. kaki pancing kan biasa cakap, ikan yang saya dapat tadi BESAR BETUL .. tapi terlepaslah pulak."

Bapak aku sambung, "Mana ada orang cakap ikan yang terlepas tadi tu KECIK je, selalunya yang terlepas tu mesti BESAR."

Sekarang. Aku cuba aplikasikan benda-terlepas-dalam-hidup-ini, iaitu yang kita tak kesampaian. Kebanyakan yang tak kesampaian itulah yang paling besar, yang paling cantik, yang paling BESH. Yang terlepas itulah yang jadi kenang-kenangan, yang kita anggap paling berharga, yang jadi kesalan, yang jadi dendam, yang jadi rinduan. Ia seumpama satu peluang, peluang itu datang hanyalah sekali, peluang terbaik, dan peluang yang terbaik itulah kau terlepas pula. Seolah-olah takkan ada peluang semacam itu muncul dalam hidup kau.

Entri aku yang semalam, ada kawan-kawan komen. Salah satu komen itu daripada Mat Jan,

 Posted by MAT JAN @ 11/28/2005 09:27 PM PST
cinta agung adalah cinta yg tak kesampaian. romeo dan juliet. uda dan dara. laila dan majnun. filem titanic. semua kisah cinta agung ni kisah cinta yg tak kesampaian. kalau org buat cerita cinta yg hero dan heroinnya berkahwin dapat anak-pinak, itu org tak panggil "cinta agung", org panggil "romantic comedy".


Oleh sebab aku ni dah berjaya sekarang, dapat pula kahwin, kemudian dapat anak perempuan bernama Aqilah serta anak lelaki bernama Tuahdanish. Maka dengan ini, kamu sekelian jangan muntah pula membaca entri aku akan datang yang bertema 'romantic comedy'.

Tahun depan mungkin kita boleh cadangkan dalam Gathering Genjurnal, Anugerah Weblog Romatic Comedy.

Ok. Teka-teki daripada aku pulak, "Banyak-banyak awek, awek apa yang paling besar?"

Jawapannya ialah awek yang terlepas. Kah kah kah. Cukup ketawa sunat je tu.

Aku ada jumpa seorang awek iaitu kawan kepada awekaku masa sekolah dulu, yang aku ada cuba tackle juga, tapi tak berjaya ho ho ho. Aku jumpa dia masa lawatan ke sebuah syarikat penerbitan, tidak lama dulu. Dia dah jadi wartawan. Masa aku mendengar taklimat terasa "Seperti pernah aku lihat perempuan ini, tapi di mana ya?"

Dan selepas aku tegur dia, dia sapa aku. Sah dia memang dia. Dulu masa sekolah punyalah slim cute comel lote, kalau dapat SUMPAH abang tak cari lain.

Tapi masa aku jumpa dia, kus semangat, gemuknya dia.

"Kau pun apa kurangnya Dugong, bertambah gemuk gak." Katanya dalam ketawa lebar, muka tembam dan mata sepetnya.

Perbualan kami selepas itu tiada yang menarik sangat, cuma berkisar tentang 'romantic comedy'.

Ke manalah kawan-kawan sekolah, hidup lagi atau matikah sudah?
Wahai kawanku, lama tak tengok, adakah kalian makin gemok?


Posted at 09:17 am by dugongsenyum
Make a comment  

 
Monday, November 28, 2005
Bumbung rumah di celahan daun-daun kelapa.
Dulu kawan-kawan aku cakap "tak dapat tengok muka, dapat tengok bumbung rumahnya pun jadilah."

Ini merujuk kepada awek zaman sekolah dulu. Penangan rindu punya pasal. Bila cinta sudah berputik, maka jadilah seperti monyet yang bergayut pada dahan angan-angan.

Aku semacam mempersalahkan diri sendiri, apa perlunya aku belajar ke tingkatan enam. Minggu orientasi pelajar. Berkenalan dengan kawan-kawan baru dari sekolah-sekolah lain. Awek-awek dari sekolah lain. Berkenalan juga dengan dia. Yang jadi kawan sekelas. Dua minit. Dua hari. Dua minggu. Dua bulan. Dua tahun. STPM. Awek masuk maktab jadi cikgu. Diri sendiri bungkus. Awek minta putus. Marah. Bakar surat. Bakar gambar.

Selepas sepuluh tahun. Perut aku semakin boroi. Kawin dengan orang lain. Awek yang akan aku cinta sampai mati. Cinta tulen.

Tapi masalahnya, aku tidak boleh tidak menoleh ke bumbung rumah itu. Kalau balik kampung mesti melintas rumah awek lama, alahai.

"Kita hidup ini sudah tentu ingin mencari yang terbaik, tahun depan insyallalah saya akan menjadi isteri orang. Jadi tak elokllah kalau saya main surat dengan budak lelaki. ...kamu jangan cerita pasal kita dengan kawan-kawan ia akan menyakitkan hati saya."

Tapi aku rasa dia reject aku sebab aku miskin hina masa tu. Kecewa betul bila membayangkan awek dijimak jantan lain.

Bayangkan sekarang ni aku melintas depan rumah dia, tiba-tiba kereta buruk aku ni rosak di simpang masuk rumahnya. Malunya aku, sebab aku masih miskin seperti dulu.

Melihat bumbung rumah, hati menjadi resah. Apasal rasa cemburu, sakit hati, iri hati, dendam tak mau hilang sampai sekarang?


Posted at 01:12 pm by dugongsenyum
Comments (9)  

 
Friday, November 25, 2005
Megi Goreng Double

Megi goreng yang aku suka itu bukanlah yang labelnya 'megi goreng' seperti mana pemahaman sesetengah orang. Tapi megi perasa kari yang direndam dalam air panas kemudian ditapis dan selepas itu digoreng macam goreng mee kuning. Kalau kau nak cuba masak sendiri, ini resepinya.

Megi Goreng Double

Bahan-bahan asas ;
2 bungkus megi kari atau kau boleh eksperimen dengan megi perasa lain
100 gm isi ayam (boleh juga tambah sotong, fishcake etc)
2 pokok sawi (kalau nak tambahlah beberapa kelopak kobis, lobak merah etc) 
10 sen taugeh
1 sudu kacang tanah yang sudah digoreng dan ditumbuk halus

Bahan tumis ;
3 sudu besar minyak
3 ulas bawang putih ] 
5 ulas bawang merah ] tumbuk kasar 
3 sudu besar cili giling
sedikit air
1 sudu besar kicap
2 sudu besar tomato sos

Cara membuat ;
1. Megi kari tadi ambil meginya saja manakala perencahnya asingkan. Rendam megi-megi ini dalam air panas mendidih tapi jangan sampai kembang sangat, caranya rendam dalam bekas yang tidak bertutup lebih kurang 1-2 minit.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sehingga wangi.
3. Masukkan cili giling dan biarkan sehingga naik minyak.
4. Masukkan isi ayam (sotong dan fishcake etc). Kacau rata.
5. Masukkan sedikit air, kicap dan tomato sos. Biarkan mendidih.
6. Masukkan megi & perencah dan biarkan mendidih.
7. Masukkan pula sayuran dan kacau rata. Jika nampak seakan kering..tambahkan sikit air panas.
8. Taburkan kacang tanah tumbuk.
9. Bila nampak sayur layu sikit bolehlah angkat ke dalam pinggan.

Kalau nak hias ;
Taburkan hirisan lada merah dan daun sup. Susunkan hirisan timun ditepi pinggan.

Bahan-bahan ni boleh adjust ikut citarasa kau. Misalnya kalau kau tak suka bawang merah, boleh gunakan bawang putih sahaja. Kalau tak suka taugeh atau sayur pun boleh juga. Nak tambah tauhu pun boleh. Pecahkan telur di atas megi yang panas lepas tu gaul, nyarm nyarm.. Kalau kau taruk tiga bungkus megi jadilah dia megi goreng triple. Pendek kata.. suka hati kaulah asalkan kau bahagia.

Info tambahan :
Masa dulu cikgu aku ada cakap megi ni disaluti dengan sejenis lilin untuk tahan lama. Kalau kau nak makan kau kena rendam megi dalam air panas, kemudian tapis buang air yang pertama ini. Biasanya airnya kelihatan berminyak, agaknya itulah 'lilin' tersebut. Lilin ni kalau kita makan kerap akan menyelaputi jantung, menyebabkan denyutan jantung terganggu. Bila kau sakit jantung aktiviti jimak kau boleh terganggu. Kesan jangka panjangnya tidak baik untuk kesihatan. Kalau cikgu aku tu menipu, maka menipulah info aku ni.

Nasihat aku kepada diri sendiri dan kau semua, buatlah megi berpada-pada buat jahat jangan sekali ewwah. Sekian, terima kasih.


Posted at 09:20 am by dugongsenyum
Comment (1)  

 
Thursday, November 24, 2005
Megi
Sepatutnya kena tulis 'mee segera', tapi dah terbiasa sebut 'megi'. Sedangkan megi tu asalnya jenama iaitu MAGGI, biarlah asalkan orang faham. Berikut beberapa perkara berkaitan megi dalam hidup aku.

1. Masa kecik dulu aku sangkakan cikedis Mamee ialah Megi yang sudah digoreng rangup, macam orang goreng keropok tu.

2. Kawan aku memang tak pandai memasak. Pernah sekali tu dia masak megi campur dengan kangkung dan akar-akarnya sekali.

3. Kali pertama aku makan Megi Goreng ialah sekitar tahun 2004 yang diperkenalkan oleh seorang kawan bangsa Korea. Dia cakap makanan ini murah dan sedap. Tapi orang kedai selalu tak paham bahasa, kita order megi goreng double.. yang sampai ntah apa-apa, pernah sekali dapat pinggan kosong double!

4. Kadang-kadang mak aku makan nasik lauk megi. Bila aku tengok dia makan nak meleleh pulak air mata aku, daif sangatlah. Tapi aku pernah cuba, sedap pulak.

5. Sejak dulu aku memasak megi dengan cara merendamkannya ke dalam mangkuk berisi air panas baru menggelegak. Suatu hari semasa angkat mangkuk panas ni, airnya tertumpah ke dua-dua tangan aku. Kesan melecur masih ada sampai sekarang. Tempat yang melecur itu ditumbuhi bulu-bulu yang lebat dan rapat-rapat.

6. Kalau menggoreng megi di rumah, aku suka tambah taugeh banyak-banyak.

7. Kalau kau nak diet makanlah megi. Oh ya.. Nak makan lepas lunch atau lepas dinner suka hati kaulah.

8. Aku tak suka megi yang terlampau kembang.

9. Suka masak megi dengan telur. Telur tu biasanya jadi separuh masak, nyam nyam sedap.

10. Dulu aku pernah kerja part time di gerai makan. Ada suatu masa megi yang dijual RM1.50 semangkuk dikomplen kerana mahal. Sekarang ni mana-mana kedai mamak pun sekurang-kurangnya jual RM3 sepinggan.

11. Aku suka megi goreng double.

12. Semasa memasak atau merendam megi, masukkan keropok lekor yang dipotong nipis sebagai tambahan. Sedap.

13. Sekilo besi dengan sekilo megi, mana lebih berat?

14. Murtabak megi pun sedap.

15. Dulu aku pernah bersahur megi direct sebulan. Kawan-kawan serumah jenis yang tak bangun sahur sebab dorang dah sahur sebelum tidur, pukul 12 malam. Sedih tunang aku bila dia dapat tahu.

16. Bila aku ingat megi mesti aku teringat kawan aku Bang Amir. Dulu masa zaman duit aku kering harta yang aku ada masa tu, pada hari tu ialah sebungkus megi. Aku tengah excited balik ke rumah untuk lunch megi.. sampai-sampai je Bang Amir sedang pulun megi aku. Tapi aku tak marah, sebaliknya terasa sedih dan pilu melihat rakan senasib. Beriya-riya dia nak bayar balik, tapi aku halalkan je. Lepas tu aku pergi kedai beli sebungkus megi baru untuk lunch pada hari tu.

17. Tak suka makan megi menggunakan mug, tak puas.

18. Aku makan megi perasa itik. Biasanya bila aku cakap pada kawan-kawan mereka kehairanan, ada ke megi perasa itik? Ada maa..

19. Megi yang diimport dari Korea pun aku suka. Lebih besar. Tapi mahal sikit, lebih kurang RM2.50 sebungkus.

20. Falsafah aku, jadilah seperti megi, makin banyak bahan kau tambah ia bertambah sedap, malah kalau takde bahan boleh dinikmati begitu saja.

21. Falsafah kehidupan lagi - Pilihlah sahabat seperti megi, yang sudi bersamamu ketika hidup susah duit takde, lebih-lebih lagi di hujung bulan.


Posted at 02:21 pm by dugongsenyum
Comments (4)  

 
Friday, November 18, 2005
Tuah.Raya.
Sebenarnya banyak cerita nak aku tuliskan di sini. Betapa seronoknya berziarah beramai-ramai semasa hari raya atau dikenali sebagai baraan. Makanan dan kuih-muih yang sedap yang muncul setahun sekali. Bertemu kawan-kawan lama. Dan banyak lagi...

Sepanjang berhari raya banyak juga gambar yang aku sempat snap. Aku bercadang untuk publish segala keseronokan berhari raya beserta gambar-gambar yang meriah itu di sini. Tetapi aku kepenatan dan belum ada mood.

Aku letakkan sahaja dahulu tuah yang baru sahaja kami terima daripada Allah. Syukur alhamdulillah bertambah lagi keluarga aku. Semoga kami murah rezeki, dipanjangkan umur untuk beribadah dan diberkati sentiasa.


Tuahdanish dan Aqilah.

Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sudi menziarah, berhari raya ke rumah, hantar SMS, hantar kad, dan apa saja tanda ingatan. TERIMA KASIH.

Posted at 03:06 pm by dugongsenyum
Comments (5)  

 
Saturday, October 29, 2005
Salam Deepavali
Posted at 10:18 am by dugongsenyum
Comments (5)  

 
Friday, October 28, 2005
Geng Lantit Reunion.
Aku melepaskan rindu melantit di Syed Kelana Jaya malam tadi.

Klik sini untuk lihat gambar-gambar sessi melantit malam tadi.

Gambar yang sangat superb oleh ND.

Mulanya aku keberatan untuk bersama-sama melantit, sebab aku cuma bermotosikal. Sekarang musim hujan sebelah petang. Awek aku pulak sedang sarat mengandung, risau nak bawa bermotorsikal berjalan jauh. Kasihan juga kepada Aqilah si kecik dua tahun yang selalu tertidur dalam pelukan ibunya.

Mujur E1 suka menolong. Dengan keretanya. Diambilnya aku di rumah aku. Singgah pula di Kota Damansara mengambil awek aku dan Aqilah. Kemudian terlewat waktu berbuka. Barulah sampai ke restoran Syed Kelana Jaya.

Kehadiran tidaklah berapa ramai, tapi tetap meriah. Ada Awin, De5lin, Nd, Petz, Aqil, Butet dan Lenz. Kemudian datang pula Op. Seronok dapat berborak, dapatlah aku membalas kesumat lantit Alamanda yang aku terlepas hari itu.

Bulan puasa kadang-kadang boleh mengaktifkan aktiviti malam aku. Misalnya minggu lepas aku melantit di Bangi, dengan Spyz, Mat Jan, Jigo, Purbe, Nett, Amyz, Daun, (sorang lagi lupa nama). Itu sampai 3.30 pagi. Balik ke rumah terus masuk waktu sahur.

Lantit malam tadi disergah gerimis. Kami berpindah ke ruang dalam restoran dan teruskan aktiviti berborak. Aku leka berborak dengan kawan-kawan, awek aku bosan dan pergi beli barang ke kedai. Aku pun sampai tak sedar bila masa baki ayam tandoori aku di cilok pelayan kedai, mungkin dia ingat aku dah tak nak makan, lalu diangkatnya baki hidangan. Ruginya.. banyak lagi daging ayamnya. Takpe aaa takde rezeki.

Tidak berapa lama, kami masing-masing meminta diri. E1 menghantar aku sekeluarga balik sampai pintu pagar rumah. Terima kasihlah E1. 

Tujuan asal lantit ialah lumba karipap sardin. Tetapi difahamkan, benda tersebut sudah habis sejak 5.30 petang tadi. Takpelah takde rezeki.

Semoga kita dapat berjumpa dalam sessi lantit akan datang. Nanti kita cari port satay pulak.

Blog Geng Lantit : http://genglantit.blogdrive.com

Posted at 10:43 am by dugongsenyum
Comments (3)  

Kuhanya miliki rindu
Semasa aku mengemas rumah tempohari, aku terjumpa sehelai kertas kajang bertulisan tangan cakar ayam. 

Aku belek-belek, rupa-rupanya puisi yang aku tulis sekitar tahun 1996. Pada masa itu tengah bercinta tak hengat dengan kawan persekolahan. Aku mula mengenali dia pada 1994, di majlis orientasi pelajar enam rendah. Mula-mula kawan, lepas tu jadi kawan baik, lepas tu jatuhlah cinta. Inilah yang orang kata cinta monyet agaknya. Hajat di hati nak bawa dunia cinta dari bangku sekolah ke universiti kemudian kerja, lepas tu kawin. Tapi apa boleh buat, kita ni sekadar merancang tuhan yang menentukan.

Puisi ini aku tulis di tepi seunggun api. Dalam api ada warkah birunya. Dalam api ada gambar-gambar kami berdua. Kemudian api itu merebak ke dalam dada. Membakar hati. Dan hampir membakar diri ini. Cewwahh..

Aku peturunkan sajak itu, dan lihatlah donia.. betapa jiwangnya aku waktu itu. 


    Kuhanya miliki rindu

    Suatu hari aku terkenang si dia
    dengan wajah yang ayu
    serta paras yang indah

    lama sudah 
    tidak kudengari tawa guraunya
    menikmati manis senyuman
    yang terbit dari dua ulas
    bibirnya itu

    betapa aku rindu
    pada jelingan matanya
    yang tajam
    buatku tak lena waktu malam

    teringat juga aku
    pemberiannya yang ikhlas
    berupa kad hari lahir untukku
    yang indah berhias
    serta sebaris puisi
    berupa nasihat berguna

    wahai gadisku
    yang putih bersih hatinya
    bisakah daku terus merinduimu
    dan berusaha 
    semoga suatu hari nanti 
    kau menjadi suri hatiku?

    lewat senja tadi
    kubaca warkahnya kepadaku
    membuat aku terkejut
    kuberharap ia hanya igauan

    dia memohon maaf padaku
    katanya dia sudah berpunya
    dan aku selama ini dianggapnya 
    hanya k a w a n b i a s a.

    Farouk Bin Karmin Lubis
    Seksyen 7
    1996


P/s : Dan selepas peristiwa itu, maka aku padamkanlah sebuah destinasi lazim berhari raya dari peta ingatan aku.

Posted at 10:41 am by dugongsenyum
Make a comment  

Previous Page Next Page