Aku kenal kekunci pertama pada mesin taip.
Masuk ke kelas menaip dan trengkas, minggu pertama kau kena belajar
tekan a, s, d, f. Kunci a untuk jari kelingking kiri, s untuk
jari manis kiri, d jari hantu dan f jari telunjuk. Kau akan diberi nota
latihan untuk 'menghidupkan' kesemua 10 jari kau itu, kemudian. Ingat,
mesin taip manual tiada kekunci 'Backspace', kau kena guna pemadam khas
kalau kau dah buat silap.
Bila kau tekan kekunci, benda kecil dalam tu akan 'mematuk' kertas kau.
Macam ayam patuk padi. Orang yang menaip lambat tu kita gelar menaip '
patuk ayam', sebiji-sebiji entah bila nak siap.
Bila kau tekan kekunci ada binatang besar anak kucing (baca:
kadang-kadang aku dapat yang besar mak kucing) tersorong ke luar,
sampai had dia akan bunyi loceng. Kau kena tolak dia masuk semula untuk
memulakan baris atau perenggan baru.
Ketak ketak ketak ketak... ketingggg! Ketak ketak ketak ketak... ketingggg! Ketak ketak ketak ketak... ketingggg!
Kau tak faham takpe, kau tak perlu faham.
Selepas beberapa bulan jari-jemari kau akan 'menari-nari' di atas papan kekunci.
Peliknya aku, ketika rakan-rakan lain sibuk dengan kelas komputer
Wordstar, Lotus 123, dBase dan lain-lain. Riak dan takabbur mereka
mengusung disket 5.25" ke kelas. Mereka dapat sijil komputer dari kelab
komputer sekolah.
Aku dapat Sijil Menaip Dan Trengkas dari Institut Trengkas. Sijil Kecekapan, yeay! apalah kerani tanpa sijil menaip.
Namun, bila kelapa sawit ada harga (baca: masa sekolah dulu aku orang
susah kerja kampung) aku ambil kelas komputer juga. Belajar dari D.O.S.
Belajar dari komputer 'tengkorak' takde otak takde isi takde cakera
keras di dalam. Macam tengkorak, kosong takde barang. Sistem operasi
komputer dijana dari cakera liut 5.25" yang cikgu kau beri, nak
jalankan program pun sama. Jangan sebut internet masa tu, sebab nanti
orang ingat kau mencarut.
Berulang ke kelas setiap minggu, naik bas loncat. Kau bayangkan kau
berada dalam bas yang berkumandang lagu Tamil atau Hindi setiap masa,
kau mengangguk-anggukkan kepala melayan irama lagu-lagu tersebut
sebagai tanda protes.
Akhirnya aku lulus peperiksaan sijil komputer program Wordstar, Lotus
123, dBase III... sijil dari South Kent College, United Kingdom. Aku
bangga dengan sijil itu. Sangat bangga. Aku pula rasa riak dan takabbur
dengan kawan-kawan yang sudah ada sijil komputer dari kelab komputer
sekolah. Sijil mereka sijil local, aku punya sijil antarabangsa. Aku
simpan sijil dalam fail, segala disket habis belajar aku masukkan dalam
kotak.
Aku jumpa kawan-kawan, aku rasa nak bercerita kejayaan aku tu, belajar komputer di Kapar, Klang tapi dapat sijil dari UK.
Di kedai kopi. Kawan-kawan yang aku jumpa, mereka bercerita pasal
Windows, pasal rangkaian dan pasal Windows 95 yang bakal terbit tidak
lama lagi. Aku tak pandai itu. Aku rasa rendah diri dan hina.
Aku. Diam dan mendengar sahajalah, teringat disket-disket dalam kotak kat rumah. Disket tak guna, macam aku.