Sebuah kereta lama kusyen tidak lagi empuk
warnanya kusam debu-debu terbang
bersama-sama kenangan silam
setiap titisan petrol yang dibakar dalam enjin
adalah keringat kudrat dipulas
tulang empat kerat yang dihempas
kereta lama kerap rosaknya
mati tiba-tiba di tengah jalan
hampanya hati tidak sempat ke destinasi
jadi berkecai kecewa harapan
aku derita kereta lama
kereta aku banyak ragamnya
kerap ke bengkel tidak jua kebah
tidak menang memakai, membeli tidak alah
setahun dua aku menderita
banyak wang terbang kerana dia
kereta lama kian pudar warnanya
karat besi seusia memori
apa gagahnya barang yang lapuk
jasanya tidak dihargai
hujan, panas, reput, lekang
kereta lama walau banyak ragamnya
rosak parah ada saja musibah
seumpama nadi perjalanan
menyusur mencapai impian
sedikit rezeki Tuhan
buruk tidak bermakna hina
buruk bukan pada rupa
baru 'kan jadi lama
nasib akan sama
wahai hati yang tabah bersabarlah
semoga datang hari yang baru
kereta lama ganti baru.
DS
Mutiara Subang
27 Dis 2005, 2.22 am